Tuesday, May 12, 2009

LENSA SWK (KUCHING WATERFRONT)







Antara Mercutanda Bandaraya Kuching yang terkenal ialah Tebingan Kuching ataupun lebih dikenali sebagai Kuching Waterfront. Inilah mercutanda yang paling sering kita saksikan di media tv apabila Bandaraya Kuching dikaitkan. Tebingan Kuching adalah tempat berlepas perahu-perahu tambang yang dinaiki penumpang yang ingin ke seberang sungai sejak berpuluh-puluh tahun sebelum ini.
Tebingan Kuching terletak di sepanjang Jalan Tunku Abdul Rahman. Ia terletak berhampiran majoriti pusat tumpuan pelawat di Bandaraya ini di samping juga hotel-hotel utama di Kuching. Ini bukan sahaja memudahkan pelawat untuk ke tempat tersebut, malahan juga menggunakannya sebagaai tempat permulaan ke tempat-tempat tarikan Kuching yang lain. Tempat-tempat berkenaan terletak dalam lingkungan 500 meter dari Tebingan Kuching, disamping kedai-kedai menjual kraftangan dan syarikat perkhidmatan pemandu pelancong yang terletak di Jalan Main Bazaar, bertentangan dengan lokasi tebingan tersebut.
Tebingan Kuching juga digelar TEMPAT UNTUK RAKYAT (People’s Place), satu panggilan yang bertepatan sekali kerana pembinaannya adalah untuk rakyat Sarawak, terutamanya warga kuching sendiri. Pembinaannya pula tercetus dari wawasan Ketua Menteri Sarawak, YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, yang ingin melihat usaha merapatkan semula masyarakat kepada sungai dengan menukarkan kawasan tersebut kepada sebuah pusat hiburan, riadah dan sumber pengetahuan, dan langkah berkenaan telah menjana perubahan kawasan tebing sungai tersebut.
Keselamatan di Tebingan Kuching pula usah kita bimbangkan kerana terdapatnya Pondok Polis Pelancong yang telah ditubuhkan sejak 6 Jun 2001, lokasinya pula betul-betul di tengah tebingan berkenaan. Polis Pelancong bertindak menjaga keselamatan pelancong. Mereka juga turut membuat rondaan sama ada berjalan kaki atau berbasikal di sepanjang Tebingan Kuching dari seawal jam 8 pagi hinggalah 12 tengah malam. Shift pertama dari jam 8 pagi hingga 4 petang, manakala shift berikutnya bermula jam 4 petang hingga 12 tengah malam. Kekuatan satu shift pula sebanyak 6 -10 orang. Jadi usah bimbang, anda boleh berjalan dengan adanya kawalan polis pelancong di sana.
Antara kemudahan-kemudahan dan tempat-tempat tarikan yang ada di sana ialah Bazaar membeli-belah barangan kraftangan Sarawak serta Pavilion Cina yang juga sebuah muzium budaya bagi masyarakat Cina di Sarawak. Yang menarik juga adalah Air pancut Kenyalang yang begitu unik sekali, taman permainan kanak-kanak “From The Mountains To The Sea”, kanopi “Orangery” untuk pameran, pertunjukan dan mini konsert di samping Medan Tebingan Kuching untuk kegiatan besar-besaran seperti senamrobik serta latihan dan demonstrasi mempertahankan diri. Selain itu, terdapat juga tempat menjual makanan dan minuman, makanan ringan, menu tempatan dan buah-buahan pada setiap masa.
Kalau anda nak tahu, Tebingan Kuching juga adalah penerima bagi beberapa anugerah antarabangsa seperti “National Project Award In The Sivic Design Category” dari Australian Institute Of Lanscape Architecture”, seterusnya “Merit Award In The Overseas Category” dari Royal Australian Institute Of Architecture” dan juga “Excellence On The Waterfront” / “Waterfront Centre Annual Award” dari The waterfront Centre, USA, kesemuanya pada tahun 1994. Seharusnya kita berbanggalah dengan pencapaian berkenaan.
Dengan kepanjangan 890 meter, Tebingan Kuching adalah satu warisan yang harus dibanggakan oleh rakyat Sarawak dan Mercutanda terbilang diturunkan kepada generasi akan datang. Jangan lupa.... Jom! Kita Lensa Sarawak.....



No comments:

Post a Comment